Cinta nostalgia adalah cinta yang suatu ketika pernah dirasai, disentuhi dan seterusnya, diingati bersama orang yang dicintai sewaktu bersama dahulu. Orang yang dikatakan itu bagaikan telah mewarnai kehidupan kita yang selama ini hanyalah dilakar tanpa sebarang keceriaan mahupun kebahagiaan. Gambar kehidupan yang sedia ada itu seperti tidak lengkap kerana kita berasa bahawa kehidupan harian kita tidak ada sebarang perubahan yang ketara untuk membuatkan hati kita gembira, air muka kita sedih mahupun membuatkan kita merasai apa-apa perasaan kerana kehidupan kita hanyalah seperti apa yang selalu dilalui sepanjang bernafas di bumi yang dicipta oleh Ilahi. Perasaan tidak ingin hidup juga kadang-kala bermain di fikiran dengan hasutan syaitan yang selalu tidak mengalah untuk menyesatkan orang-orang yang beriman. Orang yang ditemui atau lebih jelas dikatakan, jodoh dapat mengubah diri kita dalam saat-saat kita amat memerlukannya. Kehadirannya juga dapat membuatkan hati kita melompat keriangan kerana kita mengetahui bahawa dalam dunia ini, ada juga seseorang yang mencintai kita dengan berbeza daripada cinta Tuhan, ibu-bapa mahupun keluarga. Diri ini berasa seperti dihargai dan dikasihi sepenuhnya dengan cinta yang diberi olehnya.
Segala suka dan duka dikongsi bersama dalam apa jua keadaan. Segala apa yang ingin disampaikan terasa seperti mempunyai jawapan. Apabila hati resah dilempari rintangan, si dia dapat membuatkan kita berasa seperti dunia ini belum berakhir. Dalam segelintir masa, emosi dapat berubah. Tatkala sakit di hati juga ada terasa. Perasaan cemburu apabila melihat suatu gambaran mengubah persepsi kita dalam mempercayai orang yang dicintai. Tetapi dengan kata-katanya yang manis, hati dimenangi juga dengan cepat dan kita pun kembalilah ke pangkuannya.
Walau bagaimanapun, cinta yang suatu ketika dahulu pernah dirasai mungkinlah bukan cinta kita yang dijodohi Allah S.W.T. Di hari-hari yang akan datang, kita akan menemui jua jejaka yang akan menerima kita sebagai isteri dalam tangannya. Cinta yang dahulu dirasai boleh menghantui kita dalam jangka masa kita ingin mengubatinya. Mainan fikiran yang sengaja membuatkan diri ini berasa hilang boleh membuatkan kita mengingati semula cinta nostalgia itu iaitu cinta yang
suatu dahulu pernah berlaku, tetapi tidak lagi.
Dengan itu, kita seharusnya kuat menghadapi kepedihan cinta ini kerana sewaktu kita merasainya, kita kuat berpegang padanya. Adalah masa buat kita untuk meluru ke hadapan dan mencari yang lain tetapi kali ini, langkah pertama yang harus kita bertindak ialah untuk berjaga-jaga dan tidaklah terburu-buru dalam memberikan seseorang itu cinta kita yang sebenarnya sangatlah istimewa kerana ia merupakan anugerah Allah S.W.T dalam kita memberikannya kepada jodoh kita yang ditetapkan sejak azali lagi.
Manusia senang sahaja jatuh hati kepada mana-mana insan yang lain tetapi setelah hati dipatahkan, jalan kembali adalah sukar dan kita merasai bahawa kepercayaan kepada seseorang telah lenyap begitu sahaja. Namun begitu, pengajaran yang kita dapati daripada cinta yang pertama dapat memberi kita lebih pengetahuan dalam fasal-fasal cinta ini. Kita menjadi lebih berpengetahuan dan dalam hari-hari yang akan datang, kita akan faham erti cinta yang sebenarnya. Ingatlah, cinta bukan sekadar ungkapan.
No comments:
Post a Comment